Tuesday, March 6, 2012

Kembali ke MESIR ( 24 -28 Feb 2012)

Selawat dan salam atas junjungan kita Nabi Muhammad SAW

Asalamualaikum . Berjumpa lagi. Pohon maaf jika buka blog ini masih paparan yang sama. Sebenarnya sudah disiapkan tetapi terdelete kesemuanya. Yang baiknya saya belajar cara nak retrive kembali walaupun tidak semua. 

Bersyukur kehadrat Ilahi kerana diberi peluang kembali ke Mesir bumi anbiya'. Saya berangkat ditemani isteri dan sahabat sejati Dr Hj Mohamed Hatta bin Dato' Mohamad Tarmizi yg ditemani oleh kedua ibu bapanya.






Penerbangan sejauh lebih kurang7500km  mengambil masa  10 jam dengan Egypt Air yang berharga RM 7500 pergi balik untuk 2 orang. Transit di Bangkok selama 1jam. Di situ terdapat musalla yang selesa di E1 bagi yang hendak menunaikan solat. Sangkaan ku meleset tentang egypt air, kapal terbang baru dan menerima layanan yang baik... Mungkin kerana boleh berbahasa arab mesir ammiyah.




Tertarik dengan pesawat Egypt air dimana penerbangan tanpa hidangan arak dan dimulakan dengan doa yang amat dalam maknanya. Boleh memilih bacaan quran pada skrin lcd di tempat duduk.









Kami sampai di penghujung subuh. Bergilir-gilir dan bergegas ke bilik air tetapi malangnya tidak terdapat musalla. kami solat di kaki 5 dan arah qiblat berpandukan iphone( membelakangkan pintu keluar ke kiri dalam 15 darjah).








Di awal pagi jalan -jalan di kota mesir masih lengang dan pokok di tengah jalan sudah besar. Suhu masih lagi sejuk dalam 10 degree.
.










Pelajar Malaysia yang menyambut kami mempelawa ke restoran melayu di Kaherah.. Kami mencadangkan supaya kami dibawa ke restoran arab yang menghidangkan toqmiyah. MasyaAllah Toqmiyah/ falafeel Mesir yang kami nikmati di retoran Baby di masakin osman  amatlah sedap dan mengenyangkan. Bertambah enak dimakan dengan terung goreng zaitun, turshee(pickle) dan fool( broad bean).. Restoran Baby inilah menjadi tempat  kunjungan saya selalu 17 tahun yang lampau.







Kediaman Masakin Osman masih lagi tersinggam kukuh. Saya masih ingat sewaktu gempa bumi dahulu, kami berlari turun kebawah menyelamatkan diri. Keadaan masih seperti dahulu.








Kami transit sementara di rumah negeri di Hayyu Asyir. Terdapat rumah pangsa milik kerajaan selangor , Pahang, Trengganu dan Kedah.Teh tarik ala malaysia ada dijual di sini. Di sini merangka perjalanan kami. Saya menyewa kereta Hyundai matrixs denagn harga LE 600( RM 300) bersam dengan pemandu Indonesia. Pemandu in berpengalaman selama 6 tahun membawa pelancung asia menjelajah Mesir.




Setelah mendapat tempat tinggal sementara kami menjelajah kota kaherah. Ini adalah bangunan pejabat sheikhul Azhar.






Ini adalah masjid ArRahmanir Rahim... Di depan tu agaknya ada masjid  Mallikiyau midDin









Ini adalah bangunan parti Hosni Mubarak yang dibakar oleh rakyat. Dibakar atau sengaja di bakar bagi melupuskan semua dokumen penting dan rahsia.




Kelihatan ramai rakyat Mesir beratur untuk membeli tong gas kerana diwaktu itu Mesir tengah dilanda krisis tong gas masak. Sebenarnya Mesir adalah pengeluar terbesar gasa masak di rantaunya.
















Pemandangan kaherah... masih di awal pagi










 

Masjid Saidina Amru al-‘As merupakan masjid yang pertama didirikan di kawasan benua Afrika ini. Masjid ini telah dibina oleh Saidina Amru ibn al ‘As bersama beberapa orang sahabat ketika itu. Khalifah Umar al Khattab radhiAllahu an.hu telah memeberi tanggungjawab kepada Amru al ‘As untuk membina masjid setibanya berjaya membuka Mesir. Pembinaannya dimulakan pada tahun 21H / 641M di Fustat , Ibu Kota Mesir pada waktu itu sebelum Kaherah.

Dengan berbekalkan kumpulan tenaga kerja yang lebih 60 orang sahabat baginda Rasulullah SallAllahu alaihi wasalam. Masjid ini dibina dan ia dikenali sebagai Masjid Amru al ‘As bersempena dengan nama panglima Islam yang telah membuka Mesir. 
 Saya pernah menunaikan solat taraweeh dahulu di sini. Imam yang termashur ialah sheikh Gibreel. saya masaih ingat bacaan qunut beliau amat panjang. makmum dikiri  kanan yang mengangkat tangan tinggi terpaksa menurunkan tangan kerana lenguh.






Asalnya masjid ini terbina di atasa kawasan kecil dan Amru al As mengambil tanah yahudi yang berhampiran. Dengan rasa tidak puas hati yahudi tersebut mengadu kepada Omar Al Khattab . Dengan hikmah dan kebijaksanaan Omar menegur Amru,   yahudi tersebut tertarik dan memasuki Islam dan mewakafkan tanah yang diambil.






Masih kedapatan telaga asal masjid ini.






Ada sahabat handai bertanya kenapa tidak pergi ke piramid dan muzium firaun. Kami menziarahi makam, kubur juga tapi kubur dan maqam maqam orang soleh yang di jamin syurga.. Seperti imam shafei, imam wakiq  dan kami gagal mencari maqam Hasan al Banna. Kami telah melawat dulu sewaktu nenjadi pelajar dan ia terletak tidak jauh dari maqam Imam Shafei.







Saya diberitahu bahawa Imam Shafei mahu dikebumikan ditempat orang-orang miskin. Memang betul beliau dikebumikan ditempat dipersekitaranya penduduk yang kurang pendapatan.  Banyak maqam insan-insan hebat di tempatkan di kawasan yang berhampiran, guru Imam Shafei, Hasan Al Banna. pengarang kitab riadus  solihin, Cucu Nabi Nafisah  , Sheikh Sha'rawi dan ramai lagi.









SEBELUM Imam Syafie pulang ke rahmatullah, beliau sempat berwasiat kepada para muridnya dan umat islam seluruhnya. Berikut ialah kandungan wasiat tersebut: "Barangsiapa yang ingin meninggalkan dunia dalam keadaan selamat maka hendaklah ia mengamalkan sepuluh perkara."

1: HAK KEPADA DIRI.
Iaitu: Mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan
percakapan dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.

2: HAK KEPADA MALAIKAT MAUT...
Iaitu: Mengqadhakan kewajipan-kewajipan yang tertinggal, mendapatkan
kemaafan dari orang yang kita zalimi, membuat
persediaan untuk mati dan merasa cinta kepada Allah.

3 : HAK KEPADA KUBUR
Iaitu : Membuang tabiat suka menabur fitnah, membuang tabiat kencing
merata-rata, memperbanyakkan solat Tahajjud dan
membantu orang yang dizalimi.

4: HAK KEPADA MUNKAR DAN NAKIR
Iaitu : Tidak berdusta, berkata benar, meninggalkan maksiat dan
nasihat menasihati.

5 : HAK KEPADA MIZAN (NERACA TIMBANGAN AMAL PADA HARI KIAMAT)
Iaitu : Menahan kemarahan, banyak berzikir, mengikhlaskan amalan dan
sanggup menanggung kesusahan.

6: HAK KEPADA SIRAT (TITIAN YANG MERENTANGI NERAKA PADA HARI
AKHIRAT)
Iaitu : Membuang tabiat suka mengumpat, bersikap warak, suka
membantu orang beriman dan suka berjemaah.

7: HAK KEPADA MALIK (PENJAGA NERAKA)
Iaitu : Menangis lantaran takutkan Allah SWT, berbuat baik kepada
ibubapa, bersedekah secara terang-terangan serta sembunyi dan
memperelok akhlak.

8: HAK KEPADA RIDHWAN (MALAIKAT PENJAGA SYURGA)
Iaitu : Berasa redha dengan Qadha' Allah, bersabar menerima bala,
bersyukur ke atas nikmat Allah dan bertaubat dari melakukan maksiat.

9: HAK KEPADA NABI SAW
Iaitu : Berselawat ke atas baginda, berpegang dengan syariat,
bergantung kepada as-Sunnah (Hadith), menyayangi para sahabat, dan
bersaing dalam mencari keredhaan Allah.

10: HAK KEPADA ALLAH SWT
Iaitu : Mengajak manusia ke arah kebaikan, mencegah manusia dari
kemungkaran, menyukai ketaatan dan membenci kemaksiatan











Maqam Imam Wakiq, guru kepada Imama Shafei. Antara isi syair Imam Shafei ada menyebutkan petua Imam Wakiq dalam menuntut ilmu agar tidak mudah lupa ialah dengan meninggalkan MAKSIAT.






Berusaha kami mencari maqam As shahid Hassan Al Banna yang terletak berhampiran dengan maqam AsShafei tapi tidak terjumpa. Yang kami jumpa ialah maqam Sheikh Sha'rawi. Kubur di Mesir ini di bina seperti rumah dan semua ahli keluarga disimpan setempat. Yang tetariknya ada rakyat mesir tinggal di atas dan ada yang membina kedai runcit di atas. Bandar perkuburan seolah-olah seperti bamda purba. Dahulu sewaktu di Mesir saya pernah turun ke bawah meletak mayat. Terdapat bilik-bilik untuk lelaki dan peremuan. Terserempak saya dengan jasad yang seolah-olah masih baru ditutupi kspan di kamar perempuan. Bertanya saya pada arab yang menjaga... Katanya milik seorang hafizah. 








Rakyat Mesir tidak boleh dipisahkan dengan Teh panas. Di mana ceruk anda berada mesti akan terjumpa orang menyediakan teh. Hukum shisha sama seperi hukum rokok.










Benda yang menarik di kota ini ialah " kenderaan hijau", iaitu Kaldai, himar. Walaupun kereta sudah berubah versi dan rekabentuk ke tahap hybrid, namun kaldai tidak mencemarkan alam sekitar kecuali bahan kumuh yang boleh dikitar semula masih popular disetengah setengah tempat. 








 

Qal’ah Sultan Salahuddin al-Ayubi atau lebih dikenali dengan benteng Salahuddin al-ayubi merupakan kawasan yang sangat luas. Benteng ini terletak bersebelahan Bukit Muqattam dan berhampiran dengan Medan Saiyyidah Aisyah. Idea pembinaan kubu ini adalah hasil cetusan Sultan Nasir Salahuddin al-Ayubi sendiri dan pembinaannya dilaksanakan pada tahun 1183M. Baginda melihat bahawa Kota Kaherah begitu luas dan besar, terdedah kepada bahaya dan serangan kerana tiada mempunyai sistem pertahanan kubu yang ampuh sebagaimana di Halab dan Dimasyq, Syiria khususnya semasa perang Salib berlaku.

Pembinaan kubu yang terletak di atas bukit ini memerlukan asas yang kukuh dan utuh zaman berzaman. Panglima Salahuddin al-Ayubi telah mengarahkan agar diambil batu yang terdapat di Piramid di Giza, untuk dijadikan sebagai batu asas kubu tersebut. Kubu ini dikelilingi pagar yang tinggi untuk mengelakkan musuh menceroboh masuk.










Mohammed Ali Pasha berketurunan Albania telah diputerakan di Bandar Qaulah (Qavalia), Macedonia Greece pada tahun 1182H / 1769M. Beliau merupakan pengasas dan pemerintah dinasti terakhir system pemerintahan beraja di Mesir. Beliau telah menganggotai angkatan tentera laut dan datang ke Mesir bertujuan untuk memerangi tentera Perancis yang diketuai Napoleon Bonaparte.

Setelah tentera Perancis berundur, beliau dilantik sebagai pemerintah Mesir menggantikan Khurshid Pasha pada tahun 1805. Masjid Muhammad Ali dibina oleh beliau sebagai symbol pemerintahan beliau di Mesir yang beraliran moden pada tahun 1830M. Pembinaan masjid ini telah diketuai oleh seorang arkitek Turki bernama Youssef Coshna (Bushnaq), seorang arkitek bangsa Greek yang mengambil model Hagia Sophia (sebuah gereja yang ditukar masjid di Turki). Masjid ini juga terkenal dengan seni bina kerajaan Byzantine.

Ia merupakan seni bina Islam kurun ke -19 yang paling menonjol dan banyak diziarahi pelancong. Masjid Mohammed Ali disebut juga Masjid Marmar (The alabaster Mosque) kerana bahan binaan dalamannnya mewah dengan marmar yang terbaik, termasuklah mimbarnya juga diperbuat daripada marmar Bani Suef.









Sama macam 17 tahun yang dulu...








Old Cairo...










Kami menyusuri jalan-jalan kecil di bandar lama di keliling universiti Azhar asharif. Suasana seperti dahulu. Kesesakan yang seronok dilalui. Tapi jika setiap hari mungkin tidak seronok....










Saya suka roti  baladi ni.... memang di biar begini agar lapisan roti ini tidak melekat. Bial di potong dua menjadi poket dan boleh disumbat toqmiyah dan fool







Al Azhar telahpun menjangkau lebih seribu abad. Bangunan-bangunan lama masih terus didiami, lorong-lorong gelap penuh dengan sampah-sarap, lopak-lopak air dan pelbagai lagi keadaan yang menggambarkan betapa berusianya bandar ini. Walau bagaimanapun, situasi ini seakan tidak terasa, hilang terselindung di sebalik kegemilangan sinar mutiara agung para cendekiawan Mesir, Al Azhar.

Al-Azhar adalah pusat ilmu yang melahirkan professional Islam yang sering menggegarkan dunia jahiliyyah. Segala permasalahan masyarakat dapat ditangani oleh mereka secara syura. Akibatnya Pihak musuh sentiasa merancang pelbagai strategi untuk menjatuhkan Al Azhar. Semakin hari Al-Azhar semakin berkembang dan semakin ramai tokoh pemikir Islam yang sejati dilahirkan. Antaranya Dr. Yusuf al-Qardhawi, Dr Omar Hashim, Dr Sayyid Ahmad Musayyar, Dr Musa Syahin Lashin, Dr Ali Jumaah, Dr. Husin Husin Syuhatah dan ramai lagi.

Al-Azhar merupakan lembaga keilmuan Islam yang besar yang menjaga turath Islamiyyah dan menyebarkan misi dan amanah Islami kepada segenap umat di pelosok-pelosok bumi. Kini, masjid yang bersejarah yang telah dibina oleh arkitek Islam di zaman pemerintahan Fatimiyyah, Jauhar as-Saqali tetap utuh dan kekal walaupun ia bukan lagi seratus peratus bercorakkan binaan dan kesenian asli seperti pada zaman beliau. Walau bagaimanapun, fungsinya sebagai pusat penyebaran ilmu Islam tetap gemilang sehingga sekarang.











Universiti al-Azhar menjadi simbol kepada para penerus warisan perjuangan Islam baik di Timur mahupun di Barat. Ia merupakan benteng pertahanan keilmuan dan pemikiran daripada terjahan dan serangan musuh-musuh Islam.















Kedudukannya di Kota Kaherah sejak era Fatimiyyah lagi masih tidak melunturkan kesan khazanah ilmu walaupun bangunannya yang antik sering dibaik-pulih, namun ia terus bercahaya melahirkan intelektual Islam mencorak masyarakat masa hadapan. Mengikut catatan sejarah, Khalifah Aziz Billah merupakan pengasas kepada penubuhan universiti Islam pertama di dunia iaitu Al Azhar.












Mesir memang kaya dengan buah-buahan. Kali ini tengah musim strawberry yang besar dan limau yang manis-manis. Setakat ni saya tak pernah jumpa strawberry sebesar strawberry Mesir. Harganya seperti dulu juga.









Kalau berjalan di Khan Khalili di Hussein di seberang jalan Masjid Al Azhar.. Banyak kedai cenderahati. Yang menarik perhatian saya ialah gelagat pekedai memanggil pelanggan. Seorang pekedai memanggil dengan "Pergi! pergi! Pergi! Mahal! mahal!, mahal !" pasti anda akan menoleh dengan sangkaan pekedai tersebut telah di ajar dengan perkataan yang salah oleh orang melayu. Pasti anda akan tergelak. Kelebihannya di pihak beliau, pasti ada orang Malaysia akan berhenti seketika .Silap haribulan terpikat dengan barang jualan beliau.
Saya tidak tahu hendak membeli cenderahati yang sesuai, kebanyakannya patung patung firaun yang tidak sesuai di letak di rumah. Patung buaya, patung anjing, patung ulat dalam cerita mummia dan lambang-lambang tuhan amun mereka.

















Ini adalah fanus yang selalu dipasang sewaktu ramadhan. LE 80-LE 100 . Bagi yang meminati dekorasi ala timur tengah , fanus ini boleh melengkapkan suasana. Banyak restoran nasi arab memasang fanu di atas.








Tarian sufi ..... saya rasa lebih baik pergi bekerja....





Tempat tinggal kami , sebuah hotel 2 bilik, dapaur dan ruang tamu berharga LE200 di Rumah negeri Terengganu. Cumanya ....sejukkkk






Baitul Hasanah... Restoran Malaysia.. roti canai dan nasi lemak. Kami menjamu selera sebelum berangakat ke Alexandaria pada hari kedua.
















Berbagai ragam manusia dapat dilihat mencuitkan hati. Pemuda di atas mungkin kelaparan lalu mengambil buah tomato sebagai hidangan tengahari. 







Perjalanan keluar dari kota kaherah memang memenatkan mata.. Suasana sesak dan berdebu.. Dahulunya tidak sesak begini.  Banyak flyover yang tinggi dan panjang telah dibina. Walaupun suasana hingar bingar sesak berebut-rebut dan bunyi hon , masyarakatnya punya toleransi yang tinggi. Kalau suasana di sebegini berlaku di Malaysia boleh memanaskan darah. Apa yang lori di atas bawa adalah  makanan (baseem)  untuk binatang ternakan dan juga kaldai.








Pintu Gerbang memasuki Alexandria...













Nama Iskandariah diambil sempana pahlawan terkenal Yunani, Alexandar The Great. Ada pendapat yang menyatakan ia adalah sempena nama Iskandar Zulkarnain yang dinyatakan oleh Allah Taala di dalam surah al-Kahfi mengenai pengembaraannya mengelilingi dunia namun pendapat ini terlalu lemah dan tidak dapat dibuktikan kesahihannya.

Menurut catatan sejarah, pada tahun 332SM merupakan titik permulaan munculnya kota Iskandariah yang masyhur di bumi Mesir ini. Di zaman pemerintahannya, pusat pemerintahan kerajaan Mesir telah berpindah dari kawasan delta ke kota Iskandariah.

Iskandar Zulkarnain telah memerintahkan Denekrates, seorang ahli perancang kota Yunani untuk merealisasikan pembinaan kota impiannya itu. Kota Iskandariah ini telah mengalami kemajuan yang begitu pesat membangun dan pernah menjadi ibu kota Mesir selama 1000 tahun. Kedudukannya yang strategik telah menjadi tumpuan para pedagang untuk berniaga.

Hal ini berlanjutan sehingga pembukaan Islam ke atas Mesir pada tahun 21H bersamaan 642M iaitu setelah dikuasai oleh tiga peradaban besar Batlemeus, Rom dan Byzantine.







Sehingga kini kota ini merupakan kota yang banyak meninggalkan kesan sejarah dan merupakan kota yang kedua terbesar di Mesir selepas Kaherah.












Dibina oleh salah seorang Sultan Qait Bey pada tahun 1472M. Terletak di sebelah timur pelabuhan Iskandariah. Keluasan benteng ini adalah 2 hektar dan seni binanya bercirikan senibina Islam.

Pembinaannya juga bertujuan untuk menjadi tembok yang membentengi kota Iskandariah dari serangan musuh. Juga pernah menjadi tempat persinggahan tentera Perancis sebelum menuju ke kota Kaherah.







Bersama dr Hatta (IVF specialist)




Ikan laut meditarenean.... rasanya ikan laut  China Selatan lebih sedap dengan cili api....






Di hadapan perpustakaan Alexandaria.... punyai lebih 15juta buku... tak sempat nak baca semua.






Terletak di Mahattah Masr, Iskandariah. Di dalam masjid ini terdapat makam Nabi Daniel dan Makam Luqmanul Hakim alaihuma salam




Pintu gerbang yang sudah hampir runtuh.



Makam ini terletak di bawah Masjid Daniel. terdapat beberapa pendapat yang menyatakan kedudukan maqam Nabi Daniel antaranya:

- Kitab Zibdah al Mamalik menyatakan bahawa makam Nabi Daniel di Iskandariah.
- Kitab Mu'jam Baldur menyatakan makamnya di Bandar Soa, Iran.
- Pendapat lain menyebut makamnya di Mosul, Iraq.
- Kitab Dirar Kinanah karangan Ibn Hajar al Asqalani menyatakan bahawa makam yang terdapat di iskandariah adalah makam Syeikh Mohd Daniel Musolla. seorang ulama bermazham Syafie sekitar kurun ke 19, yang meninggal dunia dan dikebumikan di Iskandariah.

Makam ini terletak dalam tanah sedalam 3 meter dan bersebelahan dengan makam Luqmanul Hakim. sejauh mana kebenaran hakikat makam ini hanya Allah Taala sahaja yang mengetahui-Nya. wallahu a'lam.


 







Di antara mercutanda di Iskandariah(Alexandria) yang masih tinggal akibat vandalism semasa revolusi.






Laut Mediteranean....






Sesetenagh orang mungkin pemandangan ini membosankan ....tidak bagiku.








Had muatan tidak jadi masalah. Kalau di zaman firaun mereka boleh membawa bongkah batu besar diatas kapal dan di bawah kapal dari Aswan ke Giza untuk dibina piramid









Saya memang merindui suasana  kampung di sepanjang perjalanan ke Mansoura. Dingin, aman, tenang dan mengamit memori. Suasana kampung Malaysia tidaklah sehebat ini..... mungkin sudah jemu memandang.




Menariknay siaran radio ini mengimbau sejarah silam sewaktu berulang-alik Kaherah Mansoura di sebelah petang dan senja. Siarannya sama dengan Harijadi saya. 9270







Kebanyakan kawasan di Mansurah adalah landai dan bertanah gambut, sesuai untuk pertanian. Sungai Nil mengalir di sebelah barat laut sebagai bekalan air minum dan khusus untuk pertanian. Mempunyai jarak 120 km dari Kaherah di bahagian utara Mesir, 72 km dari muara sungai Nil di Dumyat sebelah barat dan 86 km dari tasik Manzalah di Matoriah sebelah timur
Pertanian tertumpu kepada penanaman padi, jagung, sayuran dan buah-buahan. Manakala pada musim sejuk, kapas dan gandum menjadi pilihan utama dalam agenda pertanian mereka. Selain pertanian, perindustrian dan perdagangan banyak dijalankan.
Kami di beri hotel universiti ( selepas discount US$ 80 semalam).  ok la......(tetamu universit)





Perkara pertama yang saya ingin lihat ialah suasana pagi di Mansoura... masih lengang dan seronok berjalan-jalan.








Mendapat jemputan Profesor Nesrene Omar. Belaiu sangat prihatin dan menjaga kebajikan pelajar-pelajar perubatan Mansoura.





Di hadapan Kuliah Tib. Fakulti Perubatan Universiti Mansoura. Kami Graduan era Hosni Mubarak 1994.








Di panggil mengadap Presiden Universiti( Cansellor Universiti). Di terima sebagi tetamu khas universiti , Pertemuan luar jangka. 






Professor Dr Sayeed Amad Abdul Khalak, adalah profesor dalam bidang kehakiman. Beliau memenangi pilihanraya Chancellor selepas era Hosni Mubarak. Minum teh yang kelima pada hari itu.






Dr Hatta membentang kajian saintifik.Syabas.


Di Hospital inilah kami menimba ilmu perubatan.... Allah yaftah alaik....





Bangunan apartmen inilah saya tinggal selama hampir tahun (1989-1994)dengan kadar sewa hanya LE 160.00 lengkap dengan perabot asas. Balkoni di tingkat atas adalah tempat saya suka duduk menghafal pelajaran terutama di sebelah malam di musim panas.





Muhandis Wageeh Syarbini , tuan rumah yang telah menjaga kami semasa tempoh belajar dahulu. Semoga Allah beri kesihatan yang baik untuk beliau sekeluarga. Pertemuan selama 20 minit amat indah sekali apabila diungkap kisah dahulu.








Pada sebelah malamnya saya diminta menjadi panelist forum Survival Pelajar Perubatan di Mansoura. MasyaAllah pelajar perubatan mencecah 1500 orang. 1988-1994 hanya saya dan Dr Hatta sahaja menjadi duta Malaysia di sini. Segala tips dan pengalaman dikongsi bersama, yang sedih dan yang lucu. Dahulunya dewan sebesar ini mempunyai 2 pelajar Malaysia sahaja , tapi kini.... Pengalaman mula bekerja sekembali dari Mesir sedikit sebanyak memberi semangat kepada pelajar perubatan.






Kami di tanya dengan soalan mengenai pandangan kami jika pelajar perubatan berkahwin semasa belajar. Saya tidak terlalu mengalaknya atau terlalu menentangnya dan kekadangnya menjadi keperluan untuk lebih tenang.








Tahniah kepada i-Medik Mansoura dan ISMA yang berjaya menganjurkan program sebegini.








28 Febuari 2012.
Konvokesyen ini adalah konvokesyen pertama untuk pelajar perubatan wafeeden. Kami berdua menerima sijil sarjana perubatan dan pembedahan yang berusia 17 tahun. Bezanya sijil kami sebesar poster dan berstem. Ada yang bertanya kami kerja guna sijil apa? Kami bawa balik sijil dalam bahasa inggeris dan transkrip.












Program konvokensyen bermual jam 11pagi berakhir pada jam 3 petang dengan persembahan kebudayaan Mesir , Malaysia, Arab Saudi dan Palestein.  Persembahan silat menjadi tarikan utama di sini.






Professor Dr Sayeed Amad Abdul Khalak, Cansellor universiti memberi ucap utama mengingatkan kami tentang....

Ikrar  pengamal perubatan Islam
§  Saya bersumpah demi Allah Yang Maha Agung;
§  Untuk menyedari tentang pengawasan Allah dalam melaksanakan tugas saya;
§  Untuk melindungi nyawa manusia di semua peringkat dan dalam semua keadaan, berusaha
sedaya upaya untuk menyelamatkan mereka daripada maut, penyakit, kesakitan dan
kebimbangan;
§  Untuk menjaga kehormatan manusia, melindungi aurat mereka dan menyimpan rahsia mereka;
§  Untuk menjadi wasilah kerahmatan Allah s.w.t, menghulurkan rawatan perubatan kepada mereka
yang dekat dan jauh, yang salih dan yang berdosa seta kepada kawan dan lawan;
§  Untuk berusaha mencari ilmu dan menggunakannya bagi kemanfaatan dan bukan kebinasaan
manusia;
§  Untuk memuliakan guru saya, mengajar mereka yang lebih muda daripada saya dan menjadi
saudara kepada semua rakan dalam profesion perubatan, bekerjasama dalam kebaikan dan
ketaqwaan;
§  Untuk menghidupkan keimanan saya dalam keadaan rahsia dan keadaan nyata,mengelakkan apa-
apa yang boleh mencacatkan saya pada pandangan Allah, Rasul-Nya dan orang yang beriman;
§  Dan semoga Allah menjadi saksi atas sumpah ini.








Rekod kami jayid jiddan bisharaf ( hons) telah dipecah dengan mumtaz bisharaf oleh seorang pelajar perempuan berasal dari Sarawak( mabroook).
Alangkah indahnya jika arwah bapa saya sama-sama hadir konvokesyen  ini. Ya Allah kau tempatkan ibu bapaku di maqam orang yang solleh..










Bergambar dengan Duta  Besar Malaysia di Mesir dan isterinya .





Semasa mengajar pelajar perubatan universiti swasta tempohari, saya suka bertanya kepada pelajar perubatan kenapa hendak menjadi doktor. Respon pelajar perubatan dari pelbagai keturunan dan agama ialah cadangan keluarga , tak berminat tapi kehendak keluarga, tidak tahu mahu memilih kursus apa, minat menolong orang, boleh jadi kaya (sambil tergelak-gelak) dan jawapan yang paling memeranjatkan pelajar- pelajar tersebut keluar dari mulut seorang pelajar muslim, " saham akhirat". Sebaik sahaja terdengar ungkapan itu, rakan-rakan pelajar tersebut gelak kembali. MasyAllah mereka tidak faham. Saya pun menerangkan kepada mereka makna saham Akhirat. Kebanyakan dari mereka memahami " judgement day" tapi mereka menegaskan bahwa judgemant day masih lambat lagi. Selambanya saya menjawab" Kita semua tidak tahu bila kita akan mati dan judgement day menunggu di sana. Mereka kelihatan keliru. Saya sambung mengajar.



Biladi biladi....laki hubbi wa fuaadi.









Masing-masing tidak tahu kamera mana perlu dilihat.....




Tergelak saya teringat interaksi sahabat dengan dekan fakulti perubatan. Sahabat dengan selambanya bertanya bagaimana universiti masoh menyimpan sijil kami yan sudah lebih kurang hampir 20 tahun. Dekan gelak besar "kami boleh simpan mumia beribu tahun.. Inikan sehelai kertas"












Memang tidak di nafikan makanan yang dijual ditepi jalan lebih enak. Saya dan isteri mencuba toqmiyah falafeel dan fool di restoran di kampung berhampiran kota mansoura dalam perjalanan pulang. Rasanya lebih asli, lazat dan lebih terkenang .









Kami meninggalkan bumi anbiya' ini dengan perasaan yang berbagai. Rasa sedih kerana masa yang diberi terlalu pendek, masih banyak tempat yang tidak kunjungi, sahabat handai dan saudara mara tidak sempat diziarahi. Rasa gembira kerana tidak disangka-sangka menerima jemputan dari pihak universiti dan persatuan pelajar perubatan Malaysia" i-Medik.  Di dalam musafir ini aku berdoa agar aku diberikan rezeki dan kemudahan berada di bumi ini kembali. Di bumi inilah lahir Musa dan Firaun maka berhati-hatilah memilih jalan. Harapan impian saya untuk melawat Semenanjung Sinai , Jabal Musa, St katrina dan memasuki Palestien melalui Arish. Agar ketemu lagi, maaf jika ada kesalahan, waAllahu a'lamu.












WASSALAM.......





http://sejarahmesir.blogspot.com/










No comments:

Post a Comment